Koreksi Waktu Sholat Subuh Malaysia

KENYATAAN MEDIA
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Mengenai Tambahan 8 Minit Bagi Permulaan Waktu Solat Subuh

1. Berhubung keputusan tambahan 8 minit bagi permulaan waktu Solat Subuh, adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-116 yang telah bersidang pada 20-21 November 2019 telah bersetuju memutuskan bahawa permulaan waktu solat subuh di Malaysia adalah menggunakan parameter altitud matahari pada 18° di bawah ufuk. Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh sedia ada perlu ditambah sebanyak 8 minit.

2. Keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI yang telah diputuskan ini adalah berdasarkan penyelidikan komprehensif selama setahun yang telah dilaksanakan oleh JAKIM bersama kumpulan pakar daripada Universiti Malaya, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Teknologi Mara berkaitan Penentuan Hukum Nilai Altitud Matahari di Bawah Ufuk Bagi Penentuan Awal Waktu Solat Subuh di Malaysia.

3. Hasil penyelidikan ini sebelum dibentangkan untuk penentuan hukum Jawatankuasa Muzakarah MKI, juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa (JPPF) pada 17 September 2019 dan Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan pada 17-19 September 2019 yang telah dihadiri oleh Panel Pakar Falak, pensyarah-pensyarah IPT, pegawai-pegawai Falak seluruh Malaysia dan juga persatuan/ individu yang bergiat aktif dalam bidang falak.

4. Dari segi prosedur dan proses di peringkat Persekutuan, JAKIM sebagai urusetia MKI dan Jawatankuasa Muzakarah MKI akan mengangkat semua keputusan yang telah diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI untuk makluman Mesyuarat MKI yang dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri dan ahli-ahlinya terdiri daripada Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri, dan seterusnya disembah maklum untuk perkenan Majlis Raja-Raja selaras dengan peruntukan di mana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri. Tujuannya adalah bagi mewujudkan penyelarasan dalam pelaksanaan keputusan tersebut di semua negeri seluruh Malaysia. Keputusan muktamad adalah tertakluk kepada negeri-negeri.

Sekian dimaklumkan. Terima kasih.

Datuk Hj. Mohamad Nordin Ibrahim
Ketua Pengarah
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Merangkap
Setiausaha Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI)

Tarikh : 29 November 2019

Sumber : https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/photos/a.170209816362929/2794175127299705/?type=3&theater

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *